Evolusi peruntukan undang-undang Gangguan_seksual_di_Malaysia

1985-1996: Meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat

Aktivisme di sebalik isu gangguan seksual di Malaysia dilihat sebagai hasil gabungan usaha individu dan kolaborasi antara kesatuan sekerja wanita, NGO serta gabungan organisasi wanita di Malaysia. [30] Sejak tahun 1985, peningkatan kesedaran mengenai gangguan seksual dilakukan oleh Kumpulan Tindakan Bersama Menentang Keganasan Terhadap Wanita ( Bahasa Inggeris: Joint Action Group against Violence Against Women, JAG-VAW) melalui ceramah dan seminar kepada orang ramai, dan ini diperluas ke sekolah oleh AWAM dan Majlis Nasional Pertubuhan Wanita (NCWO). [31] Pada tahun 1988 Seksyen Wanita MTUC melancarkan kempen khusus untuk membanteras gangguan seksual di tempat kerja sebagai tindak balas kepada sejumlah aduan dari anggotanya. Pada tahun 1990-an, MTUC dan AWAM bergabung dalam kempen kesedaran yang menyasarkan semua lapisan masyarakat. Jelas terdapat keperluan membangkitkan kesedaran orang ramai kerana topik gangguan seksual dilihat sebagai tabu dan mangsa sering enggan untuk tampil ke hadapan. [30] Di samping itu, tampak wujudnya titik buta tentang gangguan seksual daripada pemimpin industri di Malaysia. Menurut Asian Executives Poll yang dijalankan oleh Far Eastern Economic Review pada bulan Julai 1996, dalam tinjauan yang melibatkan 10 negara di rantau ini, hampir 60 peratus eksekutif kanan Malaysia menjawab bahawa gangguan seksual bukanlah satu masalah di negara ini. [32]

Satu kes penting pada tahun 1996 mengubah nada wacana awam, ketika Mahkamah Perusahaan memberi award pertama yang berkaitan dengan gangguan seksual. Award Mahkamah Perusahaan No. 606 tahun 1996: Jennico Associates vs Lilian de Costa mendapat publisiti media yang besar ketika itu. Seorang pengarah operasi sebuah hotel meninggalkan pekerjaannya dan mendakwa pemecatan konstruktif berdasarkan kelakuan ketua pegawai eksekutif iaitu pegawai atasannya, telah dua kali mencium dan cuba menggodanya. Dia mendakwa apabila beliau tidak membalas gangguan tersebut, pegawai itu terus mengganggunya dengan mencari kesalahan di dalam pekerjaannya. Mahkamah Perusahaan mendapati bahawa; walaupun pekerja itu meletakkan jawatan, dia sebenarnya terpaksa melakukannya kerana tingkah laku majikannya, walaupun keputusan ini kemudian dibatalkan [33] oleh Mahkamah Tinggi. [34]

Liputan media dan kempen oleh pelbagai kumpulan wanita menekankan bahawa wanita di tempat kerja memerlukan lebih banyak perlindungan daripada yang diberikan kepada mereka, dan ini mendorong Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk bertindak. [34] Satu kejayaan dicapai ketika KSM mengumumkan niatnya untuk menyiapkan dan mengeluarkan kod amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja. AWAM dan Seksyen Wanita MTUC dijemput untuk menjadi sebahagian daripada Jawatankuasa Teknikal yang bertanggungjawab untuk menyusun Kod tersebut. [30]

1999: Garis panduan untuk majikan

Pada bulan Ogos 1999, KSM melancarkan Kod Amalan untuk Pencegahan dan Pembasmian Gangguan Seksual di Tempat Kerja. [35] Tujuannya adalah untuk memberikan panduan kepada majikan mengenai pembentukan mekanisme dalaman di peringkat syarikat untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja. Menurut kod amalan tersebut, gangguan seksual ditakrifkan sebagai:

“Sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal:

  1. yang, atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya; atau
  2. yang, atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya tetapi tiada hubungan terus dengan pekerjaannya."

Kod amalan telah menyenaraikan kategori tingkah laku di samping contoh untuk setiap kategori:[36]

Contoh tingkah laku yang dipandang sebagai gangguan seksual
Jenis gangguanContoh tingkah laku yang tidak diingini
LisanKata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual
Isyarat / bukan lisanPandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, tingkah laku mengurat yang berterusan
VisualMenunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah
PsikologiMengulangi jemputan sosial yang telah tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan
FizikalSentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serangan seksual

2000 hingga sekarang: Sambutan mengecewakan terhadap kod amalan

Walaupun kod amalan ini merupakan langkah konkrit pertama untuk menghadapi masalah gangguan seksual, kod tersebut hanya wujud sebagai garis panduan dan tidak mengikat secara sah di sisi undang-undang. Pada awal tahun 2005, Jabatan Tenaga Kerja menganggarkan bahawa dari 400,000 tempat kerja yang berdaftar, hanya 624 syarikat telah mewujudkan mekanisme dalaman untuk menangani gangguan seksual di tempat kerja. [34] Menjelang tahun 2010, kurang dari 0.1% syarikat berdaftar dan aktif telah menggunakan kod amalan ini. [37] Hasil daripada respons yang tidak memberansangkan, JAG-VAW,[38] mengesyorkan agar Undang-Undang Parlimen diwujudkan dengan tujuan menjadikan gangguan seksual sebagai suatu kesalahan di sisi undang-undang. Pada tahun 2001 mereka menyusun dan mengemukakan kepada KSM Rang Undang-Undang yang bertajuk RUU Gangguan Seksual 2001.[34]

Satu lagi kekurangan kod amalan tersebut adalah ia tidak membuka jalan untuk mangsa mengambil tindakan lanjut terhadap pesalah. Malangnya agak lazim untuk mangsa gangguan seksual kehilangan pekerjaan setelah membuat aduan. [39] Sekiranya mangsa diberhentikan kerja akibat daripada aduan gangguan seksual mereka, mereka hanya berhak membuat perwakilan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah seksyen 20 Akta Perhubungan Industri 1967 untuk kes pemecatan yang tidak adil. [40]

Rujukan

WikiPedia: Gangguan_seksual_di_Malaysia http://perdanajournal.com/index.php/perdanajournal... http://www.academia.edu/download/31912555/Sexual_H... http://www.academia.edu/download/48190473/164-171_... //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22098774 //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23770869 //pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31215454 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6582586 http://www.ftms.edu.my/images/Document/MOD003059%2... http://irep.iium.edu.my/38722/1/Paper_on_Sexual_Ha... http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/6455/1/FPP_2005...